Tuesday, September 20, 2016

Peranan Ibu bapa mendidik anak-anak menghormati warga tua

Tajuk: Warga emas merupakan golongan yang perlu dihormati oleh generasi muda.

Huraikan peranan ibu bapa untuk memupuk sikap menghormati warga tua dalam kalangan anak-anak (Ruj. Teks Tkn 4 Unit 2 Bhg 2)    


Sumber : diubahsuaikan daripada modul Tn. Hj. Ishak Md. Shah

            Pujangga ada mengatakan bahawa apabila di dalam rumah kamu tersimpan seorang tua, tahulah bahawa di dalam rumah itu sudah menyimpan suatu barang yang berharga. Namun , berlainan pula dengan masyarakat era millennium kini yang tidak mengambil manfaat dengan kehadiran orang tua di sekeliling mereka. Perasaan hormat dan kasih sayang yang diterapkan oleh generasi terdahulu semakin terhakis dek terlalu mengikut arus kemodenan. Dengan fenomena itu, akhirnya warga emas terbuang bagaikan Quran buruk , menjadi asing tidak pedulikan. Oleh itu , ketika kita masih lantang mencanangkan slogan masyarakat penyayang , lantaran itu kita sepatutnya cakna akan nasib warga emas. Oleh sebab itu, ibu bapa hendaklah memainkan peranan penting mendidik generasi muda agar tahu asal usul induk mereka.

            Kita haruslah mengambil peringatan daripada peribahasa , jangan jadi kacang lupakan kulit, yakni usahlah dilupakan induk yang telah banyak berjasa. Dalam menangani gejala ini , ibu bapa mestilah bijak menggunakan pendekatan dengan banyak bercerita kepada anak-anak tentang kehebatan serta sumbangan datuk dan nenek. Hal ini sebagai salah satu langkah untuk menanam kasih sayang anak-anak terhadap warga tua. Anak-anak juga akan faham bahawa kehidupan mereka pada hari ini adalah hasil pengorbanan induk yang  lebih tua.  Anak-anak perlu memahami hakikat bahawa , tiada yang sekarang tanpa dahulu , mereka mestilah menghargai sumbangan datuk dan nenek memandangkan hubungan darah ibarat daun boleh melayang jauh , getah tetap kembali ke perdu.

            Hambatan terhadap tugasan dan masa yang amat terhad menyebabkan ibu bapa terlalu berkira untuk membawa anak-anak pulang menziarahi orang tua di kampung. Pada hal langkah itu amatlah efektif dalam memupuk kasih sayang terhadap warga emas, Lebih malang lagi terdapat ibu bapa yang sangat eksklusif tanpa menghiraukan  tanggungjawab terhadap ibu bapa di kampung yang perlu dilunaskan. Musibahnya , jurang  terbina antara dua pihak dan pastinya memberikan impak negatif  kepada anak-anak. Oleh itu, budaya balik kampung hendaklah dijadikan rutin tetap kepada setiap keluarga yang tinggal di bandar. Langkah ini amat penting bagi merobohkan tembok  yang ada apatah lagi kepada masyarakat. Bandar semakin terpisah jauh daripada  orang tua. Selain itu, langkah ini bukan sahaja untuk mengembalikan mod dan budaya malah menjadikan teladan dan memupuk akhlak anak-anak menghormati warga tua. Memetik kata-kata orang tua , Sesungguhnya , sesuatu bangsa itu akan kekal utuh selagi akhlak mereka masih utuh, jika akhlak lupuh mereka pun akan lenyap”.

            Dalam memupuk sikap menghormti warga tua dalam kalangan anak-anak , ibu bapa perlulah mendidik anak-anak bersikap rendah diri kepada orang tua. Pada peringkat permulaan, anak-anak haruslah diajar supaya memberi upacan hormat dan sedia mendengar cakap orang tua. Dalam menerapkan sikap ini , elakkan bercerita tentang  sejarah silam orang tua terutama tentang perkara yang negatif. Langkah ini penting  supaya anak-anak tidak memandang serong terhadap atuk dan nenek mereka. Jika hal ini terjadi , pastinya sikap positif gagal disemai ke dalam jiwa anak-anak kerana berlakunya kepincangan dalam hubungan anak-anak dan warga tua. Tambahan pula , dalam kalangan warga emas itu sendiri , mereka pastinya sudah menyesal perkara yang  telah dilakukan dan berusaha untuk berubah. Oleh itu , sebagai insan yang bijak dalam menangani masalah , sebarang isu negatif tidak wajar ditimbulkan , justeru biarlah biduk berlalu kiambang bertaut.

            Selain itu , ibu bapa juga berperanan untuk membawa anak-anak ke majlis-majlis tertentu seperti kenduri-kendara , menziarahi orang sakit atau kematian. Di sana sudah pasti anak-anak akan didedahkan dengan pelbagai peringkat usia. Hal ini menyebabkan anak-anak berpeluang untuk lebih dekat dengan khalayak tua. Anak-anak yang cepat mesra dengan warga tua membolehkan mereka mudah berinteraksi dan lebih mengenali cita rasa warga emas. Sebagai contoh, ibu bapa membawa anak-anak ke majlis kenduri-kendara, majlis tahlil dan majlis keramaian. Ibu bapa hendaklah mendidik anak-anak supaya menghormati golongan tua kerana anak-anak ibarat kain putih dan ibu bapalah yang bertanggungjawab mencorakkannya.Hal ini membuktikan bahawa ibu bapa perlu memainkan peranan dalam memupuk sikap menghormati warga tua dalam kalangan anak-anak.                       
Akhir sekali, membawa datuk dan nenek bertandang atau tinggal bersama adalah salah satu peranan yang perlu ibu bapa lakukan untuk memupuk sikap menghormati warga tua. Apabila anak-anak tinggal berdekatan dengan datuk dan nenek, hubungan silaturahim antara mereka lebih mesra dan akrab. Hal ini dapat dilihat apabila datuk, nenek dan cucu bersama-sama melakukan aktiviti yang faedah seperti gotong-royong membersihkan halaman    rumah, beriadah, memasak dan lain-lain lagi. Perkara ini bukan sahaja dapat melahirkan kasih sayang malah sikap hormat terhadap warga tua juga dapat disemai dalam kalangan anak-anak. Oleh itu, kita wajar berpegang dengan falsafah, ‘Yang tua dihormati dan yang muda disayangi’.

            Warga emas ialah insan yang amat banyak meninggalkan jasa kepada generasi masa kini. Segala jerih payah mereka perlu dihargai dan diberi balasan yang setimpal dengan sumbangan mereka. Biarlah pengorbanan tersebut terus lestari dengan sikap tahu membalas budi daripada anak-anak dan cucu-cucu. Inilah hakikat hidup dalam rangkaian generasi dan salasilah keturunan yang tidak putus buat selama-lamanya , bak kata peribahasa putih tulang dikandung tanah , budi baik dikenang juga.